“Fokus dalaman dulu, takyah sibuk sangat dengan program umum” Tegur Ahmad.
“Media dah power, tarbiyah bagaimana?” Perli Mahmud.
+ + +
Sepanjang pengalaman kerdil berkecimpung dalam dakwah dan tarbiyah ini, saya perhatikan kadang-kadang ada anak muda ‘tarbawi’, membantutkan diri tanpa disedari, dengan alasan yang menarik lagi ‘tarbawi’.
Asyik dengan “fokus tarbiyah dulu”, “habiskan Muntalaq, hadamkan Maalim fi Tariq dulu”, tetapi tidak berkembang pun potensi dan dakwahnya. Ini kerana, tarbiyah yang dapat selama ini menjadi basi kerana tidak mampu direbus, dimasak dan dihidang untuk santapan masyarakat. Masyarakat tidak dapat pun rasai hidangan tarbiyah yang diterimanya bertahun-tahun dalam usrah.
Saya tidak nafikan bahawa pemfokusan dan pengluasan wajib seimbang. Tenaga Murabbi wajib mencukupi dan mampu menampung semua ahli sesebuah gerakan islam.
Namun, kadang-kadang selalu sahaja kita terlalu syok dengan ke-eksklusif-an kelompok sendiri – gembira dengan usrah yang basah, ukhuwwah yang manis dan macam-macam kebahagiaan-, sehingga terlalu selesa dan takut untuk meledakkan potensi diri untuk masyarakat. Rasa takut untuk pengucapan awam, tak berani untuk sebarkan fikrah islami sesama batch & persatuan pelajar (bagi mahasiswa), jiran tetangga, dan masyarakat umumnya. . Rasa takut untuk meluaskan capaian mad’u dan meramaikan ahli atas alasan manis “Kuatkan tarbiah kita dulu..”
Selain kerana tarbiyah yang didapati selama ini menjadi basi, mungkin juga perkara ini terjadi kerana kita hanya sibuk dengan tarkiz (Pemfokusan), tanpa sedar apa yang disebut oleh Syeikh Muhammad Ar-Rasyid dalam bab Akhir Al-Muntalaq “Pemfokusan, Tidak Meramaikan” (تركيز لا تكاثر) (Perenggan ini tidak wujud di dalam Muntalaq versi terjemahan bahasa melayu mahupun Indonesia, mungkin penterjemah terlepas pandang?) :
ولا يكون التوسع العددي إلا في المراحل المتقدمة بعدما نضمن وجود تأثير تربوي غير مباشر يأتينا عن طريق وسائل الإعلام الدعوية، من كتب وصحافة وأشرطة مريئة وصوتية، وعن طريق التحرك الواسع المعلن لبعض قادة الدعوة ومفكريها وخطبائها
(..dan tidak berlakunya perluasan angka melainkan di peringkat mendatang –selepas peringkat awal- melainkan selepas kita dapat jamin wujudnya pengaruh/kesan tarbawi secara tak langsung, yang datang kepada kita melalui wasilah-wasilah media massa dakwah yang terdiri dari buku-buku, filem-filem, radio, dan melalui usaha/pergerakan pemimpin, pemikir, dan pemidato dakwah yang tersebar meluas)
Ya, zaman moden ini, banyak saja benda yang sangat membantu dalam tarbiyah secara tidak langsung yang dapat menampung juga kelompongan murabbi dalam proses tarbiyah.
Sudah 2 3 tahun kita mulakan tarbiyyah dan dakwah, sangat pelik bila masyarakat sekeliling tidak merasai hasilnya. Sangat pelik bilamana bilangan kita tidak bertambah melainkan sedikit kerana kita yang tidak berani keluar dari zon selesa.
Walaupun peringkat dakwah kita masih di peringkat awal (kalau kita anggap sedemikian), apa salahnya ciri-ciri peringkat mendatang itu sudah mula diwujudkan sebagai persediaan bila mana ruang itu sudah ada sekarang?
+ + +
Bila kita tidak mampu imbang dengan tepat antara pemfokusan dan perluasan, masyarakat yang sentiasa mengharapkan kita terbiar begitu sahaja. Rakan-rakan yang kita jumpa setiap hari terabai sedangkan sebenarnya mereka tercari-cari hakikat hidup selama ini, menanti-nanti sentuhan kita. Ribuan bahkan jutaan manusia terabai haknya di atas kesilapan kita.
Lebih parah, kesilapan kita ini diisi dengan agenda musuh yang sentiasa mencari peluang keemasan yang ada. Lihatlah betapa gerakan liberal begitu berani menyebarkan idea mereka pada masyarakat.
Pentas awam di Malaysia rancak diisi dengan pelbagai ideologi mereka, sedang si anak muda tarbawi masih syok sendiri, segala peluang & ruang yang tersedia diketepi.
No Comments